Ahli-ahli Majlis Bandaraya Shah Alam Sesi 2012/2013

Sunday, October 16, 2011

Pertandingan Persahabatan Bandminton

Pada 24/09/2011 pukul 8.00 pagi, MPP Zon 12 dengan kerjasama Sekolah Rendah Kebangsaan (Cina) Chung Hua dengan berjaya menganjurkan pertandingan persahabatan badminton antara SJK(C) Cung Hua dan SJK(C) Khe Beng.

Majlis ini telah dirasmikan oleh ADUN Sri Muda YB Shuhaimi Shafiei dengan diiringi oleh Ahli Majlis En. Tan Ah Kow & En. Kamarudzaman Sanusi.

Pertandingan ini dibahagikan kepada 2 seksyen, iaitu seksyen pelajar dan seksyen guru-bapa.





































Tuesday, October 4, 2011

RINGKASAN BELANJAWAN 2012 OLEH PAKATAN RAKYAT

1. Kesejahteraan Untuk Semua

Belanjawan Kesejahteraan 2012 yang diluncurkan Pakatan Rakyat merupakan suatu permuafakatan merangka masa depan baru bagi Malaysia selari dengan pengikraran Agenda Bersama Disember 2009 dan Buku Jingga, Disember 2010.

Kesejahteraan Untuk Semua hanya boleh dicapai apabila mempunyai iltizam politik membawa reformasi secara menyeluruh terhadap institusi-institusi negara serta dipandu oleh prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik. Kepelbagaian Malaysia merupakan kekuatan kita. Pertumbuhan ekonomi kita bergantung kepada muafakat rakyat tanpa mengira gender, etnik dan agama.

Hanya melalui belanjawan yang responsif kepada gender dan berdasarkan agenda memperkukuh rakyat biasa untuk hidup dengan penuh rasa hormat serta punyai segala peluang akan membolehkan mereka menggunakan segala potensi yang ada dengan penuh semangat. Mengakui tekanan inflasi terhadap rakyat Malaysia. Belanjawan Kesejahteraan 2012 berhasrat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati semua melalui dasar dan kerangka yang bertujuan meningkatkan pendapatan 60 peratus isi rumah di Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM 3,000 sebulan.

Pengenalan gaji minima, mengurangkan jumlah pekerja asing tidak terlatih, meningkatkan kemahiran dan produktiviti secara besar-besaran akan memberi faedah kepada tenaga kerja rakyat tempatan. Keutamaan adalah memberi perhatian khusus untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, maka gaji, kemahiran dan produktiviti juga dapat ditingkatkan.

Mempertingkatkan keupayaan pengangkutan awam, perumahan dan penjagaan kesihatan membolehkan pendapatan boleh guna rakyat yang semakin tinggi. Pendapatan boleh guna yang tinggi akan memberi kesan baik kepada perbelanjaan tempatan; sesuatu yang penting dalam persekitaran global yang semakin tidak stabil.

Monopoli dan oligopoli yang dipecahkan akan meningkatkan persaingan serta membantu ahli perniagaan Malaysia untuk mengurangkan kos. Persaingan akan mengurangkan tekanan inflasi dan menjana lebih banyak pilihan kepada rakyat.

2. Negara Kaya, Rakyat Miskin?

Malaysia merupakan negara yang kaya dengan sumber. Tetapi bagaimana keuntungan dari sumber alam semulajadi yang banyak dapat diagihkan kepada rakyat Malaysia? Pada masa ini, rakyat tidak menikmati pendapatan yang sepatutnya. Kumpulan terbawah iaitu meliputi 40 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan manakala kumpulan pertengahan yang juga meliputi 40 peratus menikmati pendapatan purata RM3,500 sebulan.

Secara keseluruhan 80 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM2,500 sebulan. Dari segi kelayakan, sesuatu yang memeranjatkan, 70 peratus penduduk hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai kelayakan tertinggi manakala dari segi pekerjaan lebih satu pertiga ketua keluarga dalam sektor tidak rasmi. Ia sesuatu yang tidak memeranjatkan dalam ketidaksamaan pendapatan di Malaysia adalah tinggi di mana kumpulan 40 peratus dibawah hanya menikmati pendapatan 15 peratus manakala kumpulan 20 peratus diatas menikmati pendapatan 49 peratus.

Gejala sebuah negara yang terperangkap dengan kelembapan ternyata wujud di Malaysia berikutan dasar yang telah ketinggalan zaman dan pengurusan ekonomi yang lemah hanya mengutamakan sekumpulan individu.

Pada masa ini, apa yang kita lihat,

i) ketidakupayaan sekumpulan besar rakyat yang tidak mampu untuk berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.

ii) jumlah pengangguran di kalangan graduan tempatan yang tinggi dan pada yang sama wujud rungutan majikan mengenai kekurangan kemahiran dan bakat.

iii) perbelanjaan subsidi yang telah melambung naik 10 kali ganda.

iv) pelaburan tempatan dan asing adalah kurang menyebabkan Malaysia satu-satunya negara di ASEAN yang mengalami pengaliran keluar pelaburan asing (FDI) kasar.

Perkara ini tidak membantu apabila pada masa yang sama ekonomi global yang memasuki satu lagi fasa gelora. Keupayaan Amerika Syarikat dan Eropah untuk menjana pertubuhan adalah terhad. Eksport ke negara-negara barat bukan lagi sumber pertumbuhan untuk Asia. Kita perlu mencari sumber baru yang akan memberikan kelebihan.

Belanjawan Kesejahteraan 2012

Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012 menekankan pemerkasaan, peluang dan harga diri untuk seluruh rakyat Malaysia berteraskan kerangka kewangan dan lingkungan yang mampan. Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 menumpukan usaha membangun rakyat Malaysia, bukannya projek mega. Ianya bukan untuk kroni dan mereka yang berkepentingan akan tetapi demi memperkukuh keusahawanan, produktiviti dan kerja yang baik.

3. Perbelanjaan Berhemah

Pakatan Rakyat akan memperuntukkan sejumlah RM 220 billion untuk belanjawan 2012 namun akan memastikan dana tersebut dibelanjakan secara berhemah, bertanggungjawab dan berkesan. Defisit akan dikurangkan kepada 4.4% dari KDNK berbanding 6% pada tahun 2011. Perbezaan itu bersamaan dengan RM 14 billion.

Pendapatan boleh ditingkatkan tanpa membebankan rakyat dengan memastikan konsesi kerajaan dan permit tidak disalahguna dan disalurkan dengan betul. Sebagai contoh, kita akan memperolehi pendapatan lebihan sekitar RM 1.2 billion sekiranya berjaya menaikkan harga Permit Import (AP).

Menumpukan usaha memastikan dana dibelanjakan secara berhemah dengan memastikan tiadanya ketirisan, pembaziran dan ketidakcekapan. Ini pastinya berjaya meransang lebih dari 20% keuntungan buat rakyat bersamaan dengan jumlah yang sama dibelanjakan. Sebagai contoh Pakatan Rakyat mampu untuk memperuntukkan RM 4.4 billion untuk:

Perkukuh pendidikan. Keseluruhan guru bakal menikmati elaun khas mengajar sejumlah RM 500 sebagaimana yang dijanjikan Buku Jingga.

Gaji minima yang memberi keuntungan buat 300 000 penjawat awam dan kenaikan keseluruhan skala gaji penjawat awam.

Formula dividen yang munasabah akan menggantikan amalan mendesak dividen yang besar jumlahnya dari Petronas. Sungguhpun harga petroleum kini lebih tinggi, dividen untuk 2012 hanya sekitar RM 26 billion, lebih rendah berbanding untuk tahun 2011 berjumlah RM 30 billion.

4. Meningkatan Pendapatan

Pakatan Rakyat akan mengutamakan polisi yang inisiatifnya menumpukan untuk meningkatkan tahap pendapatan keluarga dan kemahiran tenaga kerja.

Gaji adalah rendah di Malaysia. Kumpulan terbawah iaitu meliputi 40 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan dan gaji rendah ini menyebabkan:

* Bekalan yang banyak untuk tenaga kerja asing tidak terlatih.

* Kekurangan tenaga kerja terlatih.

* Penghalang kepada syarikat swasta untuk meningkatkan produktiviti.

Mengakui bahawa gaji hanya boleh tumbuh secara mampan dengan peningkatan produktiviti, tetapi ia juga adalah satu realiti bahawa mekanisma penentuan gaji tidak berfungsi. Pakatan Rakyat mencadangkan iaitu:

- Gaji minima adalah gaji dasar yang dikuatkuasakan mengikut undang-undang untuk memastikan semua pekerja di peringkat terendah mendapat gaji berperikemanusiaan dan akibat langsung daripada ini, pekerja-pekerja lain akan turut menikmati peningkatan gaji.

- RM 2 bilion akan diperuntukkan untuk sebuah Tabung Pemudahan (Facilitation Fund) untuk membantu usahawan, pengusaha industri kecil dan sederhana (SME) dan firma-firma kecil untuk memperbaharui peralatan, menjentera dan merubah operasi mereka untuk mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru.

- RM 1.6 bilion akan disalurkan untuk memperluas latihan teknikal dan vokasional untuk mempertingkat kepakaran tenaga kerja.

- 10,000 orang guru akan dilatih dan RM200 juta akan diperuntukkan untuk mengatasi kekurangan guru-guru bahasa Cina, Inggeris, Tamil dan guru-guru agama, serta RM 200 juta akan diberikan dengan serta merta untuk memperbaiki bangunan-bangunan sekolah terutamanya SRJK (C), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan SRJK (T).

5. Menamatkan monopoli

Pakatan Rakyat akan membawa masuk suatu era baru dengan melaksanakan reformasi dasar-dasar dan peraturan-peraturan sedia ada untuk mengurangkan kos sara hidup, menggalakkan usahawan kecil dan sederhana (SME) serta pelaburan.

- Dasar tender terbuka untuk perolehan kerajaan yang akan memberi ganjaran kepada mereka yang berkebolehan dan bukan mereka yang mempunyai kenalan dalam kerajaan.

- Langkah-langkah sokongan bagi golongan bumiputera dan mereka yang kurang bernasib baik akan menumpukan perhatian untuk menambah daya saing golongan-golongan ini melalui pendidikan, latihan dan bantuan kewangan.

- Suatu Akta Kontrak Awam Tidak Adil akan digubal untuk mengkaji semula konsesi-konsesi dan perjanjian-perjanjian yang dikenalpasti sebagai tidak adil kepada kepentingan umum.

- Mengembalikan tahap profesionalisme dan kemuliaan perkhidmatan awam agar mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, dari individu ke peniaga kecil hinggalah ke pelabur besar.

- Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan dibebaskan dari gangguan politik dan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan keutamaan perniagaan. Di masa hadapan, hanya GLC dalam sektor strategik sahaja akan dikekalkan.

- Akta Persaingan 2010 akan diperluas ke semua sektor ekonomi, termasuk syarikat telekomunikasi, perkhidmatan televisyen berbayar dan sektor tenaga.

- Monopoli-monopoli berikut (bukan menyeluruh) yang menghakis pendapatan boleh guna rakyat Malaysia dan mengakibatkan kos perniagaan yang tinggi akan distruktur semula pada tahun 2012:

Ø Memansuhkan monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) ke atas import beras. Sebaliknya, lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif, terbuka dan telus;

Ø Telekom Malaysia (TM) akan diarah melepaskan genggaman ke atas pasaran "jarak terakhir" ("last mile") perkhidmatan internet jalur lebar dan fokus kepada perniagaan asas - data dan telefoni - lalu melahirkan pasaran "jarak terakhir" yang tegap dan berdaya saing. Ini akan mengurangkan kos dan menambahkan tahap penembusan internet jalur lebar;

Ø Kartel syarikat telekomunikasi akan dihapuskan;

Ø Kartel akhbar dan media akan dihapuskan;

Ø Kartel perkhidmatan penerbangan akan dihapuskan;

Ø Monopoli Astro ke atas perkhidmatan televisyen satelit siar terus berbayar akan dihapuskan;

Ø Lesen teksi akan diberi terus kepada para pemandu teksi.

6. Mempertahan Martabat di Waktu Susah

Pakatan Rakyat peka dan prihatin dengan kegusaran di hati rakyat untuk hidup bermaruah tatkala menghadapi tuntutan kehidupan seharian sebelum dasar-dasar untuk meningkatkan pendapatan membuahkan hasil.

- Langkah-langkah berikut dicadangkan diambil:

Ø Bonus RM1,000 setahun bagi setiap warga emas di Malaysia;

Ø Bayaran RM1,000 di tahun 2012 untuk warga suri rumah yang layak;

Ø Menambah pendapatan isi rumah golongan miskin tegar kepada RM550 sebulan dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dengan menambah bayaran kebajikan terus sebanyak RM550 sebulan untuk memastikan penjajaran dengan bantuan kepada golongan miskin tegar; dan

Ø Elaun RM700 setahun bagi penjagaan anak berumur 12 tahun ke bawah bagi keluarga yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan dan penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak berkelulusan melalui penyediaan pinjaman khas dan insentif cukai. Pakatan Rakyat ingin melihat peningkatan kadar penyertaan buruh di kalangan wanita dari 46 peratus ke 55 peratus dalam masa lima tahun. Dasar-dasar lain untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh, melalui latihan dan peningkatan kebolehlenturan waktu bekerja, akan dibincangkan.

Bergantung kepada peningkatan pendapatan rakyat, subsidi ke atas barangan dan perkhidmatan akan dikekalkan pada jumlah RM 22 bilion. Dasar-dasar subsidi dan harga kawalan petrol akan dirombak untuk merasionalisasikan perbelanjaan kerajaan:

Ø subsidi kepada badan-badan dan syarikat yang bersifat monopolistik akan dihentikan;

Ø subsidi-subsidi umum akan distruktur semula untuk mendatangkan kebaikan terus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang memerlukan.

7. Mengurangkan Jurang Bandar-Luar Bandar

Pakatan Rakyat akan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia yang menetap di luar bandar.

Pembangunan serantau dan luar bandar akan digalakkan melalui desentralisasi pentadbiran

Monopoli import beras yang dipegang BERNAS akan dihapuskan. Lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif dan terbuka. Subsidi akan diberi terus kepada para petani melalui institusi-institusi pertanian.

RM 100 juta akan diperuntukkan kepada peniaga-peniaga kecil untuk pertingkat tahap kebersihan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa.

8. Meningkatkan Kualiti Kehidupan

Pakatan Rakyat akan memperjuangkan kualiti kehidupan yang lebih baik buat semua rakyat Malaysia.

- Pasukan polis akan difokuskan semula kepada pencegahan jenayah dan meningkatkan keselamatan awam;

- Dasar "Bina dan Jual" ("Build then Sell") untuk projek perumahan kos rendah-sederhana akan diwujudkan, untuk menjaga keselamatan pengguna. Peruntukan kos perumahan awam akan dinaikkan ke RM 1 bilion.

- Dasar Pengangkutan Nasional akan mengutamakan pengangkutan awam dengan mengetengahkan prinsip "gerakkan rakyat, bukan kereta". Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pengangkutan.

- Mempertingkat penggunaan teknologi hijau untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih baik, efisyen, dan mendatangkan kebaikan kepada rakyat melalui penjimatan kos kemudahan awam asas dan lain-lain perbelanjaan isi rumah, dan kepada industri dengan meningkatkan produktiviti dan keberuntungan.

9. Mereformasi Landskap Politik

Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan demokrasi berparlimen dan Persekutuan.

Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan prinsip dan pelaksanaan persekutuan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dimana negeri-negeri akan diberikan lebih banyak kuasa melalui perkongsian kuasa dan pengagihan sumber. Pakatan Rakyat juga akan memperkenalkan refomasi berikut:

· Memansuhkan semua perintah darurat dan menghapuskan semua undang-undang yang membabitkan tahanan tanpa perbicaran seperti yang terkandung di dalam Akta Pemansuhan Darurat yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat pada sesi Parlimen Mac 2011.

· Menstruktur semula Biro Pengaduan Awam menjadi sebuah institusi Ombudsman.

· Meletakkan beberapa institusi awam utama seperti Jabatan Audit Negara, Jabatan Perangkaan, Suruhanjaya Pelantikan Hakim, Suruhanjaya, Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan institusi Obudsman dibawah bidang kuasa Parlimen.

· Untuk memastikan kebebasan media dengan menghapuskan keperluan permit dengan pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Selaras dengan itu akan ditubuhkan Majlis Media yang bebas dan kawalan sendiri.

· Memulihkan autonomi dan kebebasan ahli-ahli akademik universiti- univesiti di Malaysia dengan menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971,oleh itu membebaskan pelajar-pelajar daripadan cengkaman Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan kepimpinan universiti-universiti awam akan berdasarkan kepada merit.

· Memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat pada setiap peringkat kerajaan dengan dilengkapkan infrastruktur yang diperlukan. Ini akan memastikan akses kepada maklumat yang menjadi kepentingan awam, terkecuali ialah perkara-perkara yang secara tulen berkait dengan keselamatan negara.

Pakatan Rakyat berjanji untuk memperkukuh Parlimen sebagai sebuah institusi dan menolak amalan Perdana Menteri sebagai diktator:

- RM 10 bilion dari belanjawan budi bicara Perdana Menteri akan disalur keluar kepada Kementerian-Kementerian berkenaan.

- Cadangan-cadangan perbelanjaan akan diteliti dengan rapi di peringkat jawatankuasa parlimen. Sebagai langkah pertama, tujuh Jawatankuasa Belanjawan Parlimen akan ditubuhkan untuk meneliti belanjawan-belanjawan kementerian lalu membolehkan debat dan penilaian yang lebih berkualiti.

- Ahli-ahli jawatankuasa dan Ahli-ahli Parlimen akan diberi peruntukan untuk pembantu penyelidik parlimen demi meningkatkan keberkesanan kajian belanjawan serta meneliti implementasi dan hasil daripada perbelanjaan tersebut.

10. Anak Muda Mendepani Perubahan

- Bergantung kepada kajian semula dan siasatan yang menyeluruh ke atas perbelanjaan dan struktur kurikulum, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan digantikan dengan program-program luar kurikulum atau program komuniti. RM 747 juta yang diperuntukkan kepada PLKN tahun lepas akan disalurkan kepada inisiatif terbaru ini.

- Sejumlah RM 100 juta akan diperuntukkan kepada program Pilihan Anak Muda, yang melibatkan anak muda Malaysia berumur bawah 30 tahun, untuk mengimplimentasikan projek-projek dan program-program pilihan mereka melalui sistem undian.

- RM 50 juta akan diperuntukkan kepada sebuah dana khas untuk meningkatkan penglibatan anak muda dalam aktiviti-aktiviti berdasar kreativiti dan mewujudkan lebih banyak ruang riadah dan rekreasi khusus untuk anak muda.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang akan datang ini tidak akan berjaya melaksanakan dasar-dasar yang mustahak dan bakal merubah wajah negara ini dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan. Rakyat Malaysia, sebagai majikan dan pekerja, sebagai suri rumah, sebagai pengasuh dan mahasiswa, dan yang paling utama sebagai warga negara mesti memainkan peranan sama ada secara individu mahupun bersama, dalam menjayakan agenda yang berani ini demi menggerakkan Malaysia ke hadapan, menuju masa depan yang lebih cerah buat semua.