Ahli-ahli Majlis Bandaraya Shah Alam Sesi 2012/2013

Friday, July 23, 2010

KENYATAAN AKHBAR


Kami, pakatan Ahli-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Shah Alam, dengan ini sebulat suara menegaskan bahawa kami menyokong dan mendokong penuh kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang diterajui oleh Tan Sri Dato Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim. Semenjak akhir-akhir ini kepimpinan Kerajaan Negeri telah diserang dari segenap penjuru oleh pemimpin-pemimpin UMNO Barisan Nasional dalam usaha sia-sia mereka untuk memperlekeh dan melemahkan kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat.

Baru-baru ini Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor telah meluluskan dua rang undang-undang pindaan berkaitan Kebebasan Maklumat (Freedom of Information) dan juga perlantikan Pengerusi Jawatan Kuasa Kira-kira Wang Awam (Public Accounts Committee) dari parti pembangkang. Kedua-dua perkara tersebut telah menempa sejarah tersendiri kerana tiada negeri lain di Malaysia mahupun Kerajaan Persekutuan sendiri mampu dan mempunyai kekuatan politik untuk mengambil pendekatan yang serupa. Kedua-dua perkara tersebut membuktikan ketelusan pemerintahan Pakatan Rakyat kearah pentadbiran yang berakauntabiliti (Good Governance). Ini adalah apa yang diaspirasikan oleh rakyat marhain dan rakyat yang bertamadun.

Sebaliknya, di peringkat Kerajaan Persekutuan pula, rakyat kebanyakan telah dibebani dengan kenaikan harga barang keperluan tanpa disedari akibat dari penarikan balik subsidi petrol, gas, gula dan sebagainya. Rentetan daripada itu, kesan-kesan berantai (chain reaction) amat ketara dan ini menghimpit rakyat secara langsung.

Bagi mengelakkan rakyat dari membincang kebaikan pindaan Freedom Of Information, lantikan pihak pembangkang sebagai pengerusi Public Accounts Committee dan isu kenaikan harga barang, pimpinan UMNO Barisan Nasional telah mengubah pandangan masyarakat dengan memomok-momokkan isu industri pasir di Selangor. Umum sememangnya mengetahui yang punca masalah sebenar isu ini adalah tinggalan kerajaan terdahulu. Dengan tertubuhnya Kumpulan Semesta Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Menteri Besar Di Perbadankan, keadaan menjadi lebih baik dan terkawal serta menambahkan pulangan hasil yang lebih kepada Kerajaan Negeri. Pada waktu yang sama, pengusaha-pengusaha pasir haram yang mungkin terdiri dari mereka-mereka di kalangan pemimpin-pemimpin parti politik tertentu yang telah menikmati pulangan sejak sekian lama merasakan pendapatan mereka telah terjejas hasil dari pengurusan sumber pasir secara tersusun. Justeru, mereka telah menanamkan satu indoktrinasi kepada rakyat Malaysia umumnya dan rakyat Selangor khususnya dengan tuduhan bahawa kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat telah gagal dalam menguruskan sumber khazanah alamnya.

Kita ingin tegaskan sekali lagi, serangan-serangan politik dari pihak UMNO Barisan Nasional yang ditujukan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor adalah bersifat politik jahat dan tidak bertamadun. Serangan-serangan ini akan menguatkan lagi tekad dan azam kami, Ahli-Ahli Majlis Pakatan Rakyat untuk berkerja dengan lebih kuat demi mendokong amanah yang telah disandarkan kepada kami.

Sekian.

Kamarudzaman Sanusi

Ketua Whip bagi seluruh Ahli Majlis Pakatan Rakyat MBSA

21/07/2010

No comments:

Post a Comment